PETALING JAYA: Malaysia kini dilihat sebagai rakan strategik yang dihormati di samping menerima pengiktirafan antarabangsa terhadap peranan memperjuangkan isu-isu global khususnya mendukung keadilan untuk rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai siri lawatan rasminya ke luar negara dan kunjungan para pembesar dunia ke Malaysia sekali gus telah memperkukuhkan hubungan dengan negara lain dan seterusnya melonjak pelaburan serta eksport sehingga menjulang nama tanah air.
Anwar justeru itu berkata, Malaysia telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab di dalam merintis kebangkitan ASEAN di rantau ini ke era baharu yang lebih terangkum dan mampan.
“Alhamdulillah, rangkaian lawatan rasmi ke luar negara serta kunjungan pembesar dunia ke Malaysia sepanjang tahun ini telah memperkukuh hubungan dengan negara-negara sahabat, melonjak pelaburan dan eskport negara serta menjulang negara di persada dunia.
“Malaysia kini dilihat sebagai rakan strategik yang dihormati, menerima pengiktirafan daripada pemimpin negara kuasa besar atas peranan kita dalam memperjuangkan isu-isu global, terutama dalam mendukung keadilan buat rakyat Palestin serta memperjuang tatanan dunia yang lebih adil dan seimbang.
“Menjelang 2025, Malaysia bersedia menggalas tanggungjawab merintis kebangkitan ASEAN, membawa rantau ini ke era baharu yang lebih terangkum dan mampan. Dengan sokongan padu masyarakat antarabangsa, kita melangkah ke tahun hadapan dengan penuh keyakinan untuk memacu kemakmuran bersama,” katanya dalam Facebook beliau.
Sepajang tahun ini, Anwar mengadakan pelbagai siri lawatan ke beberapa negara antaranya Brazil, Peru serta China.
Dalam pada itu, bermula 2025, Malaysia akan mempengerusikan ASEAN selepas mengambil alih tugas itu daripada Laos.
Sebagai tuan rumah mesyuarat utama ASEAN, agenda kepengerusian Malaysia akan bermula dengan penganjuran Pemukiman Menteri Luar ASEAN yang pertama di Langkawi Januari, diikuti dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China di Kuala Lumpur, serta Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) di Pulau Pinang (Mei).
Acara lain yang berkaitan termasuk Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Johor (Februari), Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pasca Menteri (AMM/PMC) di Kuala Lumpur (Julai), SOM ASEAN di Negeri Sembilan serta acara yang dinanti-nantikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, pada bulan Oktober.
Diasaskan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.
Timor-Leste masih menunggu keputusan konsensus negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh ASEAN. – UTUSAN