Malaysia sokong keanggotaan penuh Timor-Leste

Malaysia manfaat Kepengerusian ASEAN 2025 sokong keanggotaan penuh Timor-Leste

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Malaysia memberi sokongan penuh kepada Timor-Leste bagi mendapatkan keanggotaan ASEAN selaras kapasiti Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses itu akan dipercepatkan.

Beliau berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menekankan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan negara anggota dan rakan dialog ASEAN bagi mempercepatkan proses penyertaan Timor-Leste.

“Kami (Malaysia) menantikan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN.

“Pada tahun depan, apabila kami mempengerusikan ASEAN dan kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk membantu (keahlian) Timor-Leste supaya proses itu dapat dipermudahkan dan dipercepatkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatnya dari Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão, di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar bersama Xanana Gusmão mengadakan mesyuarat dua hala di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Sebelum itu, Xanana Gusmão diberikan sambutan rasmi termasuk memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).

Xanana Gusmão yang tiba semalam kini dalam lawatan sulungnya ke negara ini, sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada Julai tahun lalu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia percaya penyertaan  Timor-Leste dalam ASEAN akan mengukuhkan matlamat strategik ASEAN sekali gus dengan menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan penyertaan awal Timor-Leste kepada instrumen dan perjanjian undang-undang ASEAN sebagai sebahagian daripada keahlian penuhnya, seperti yang ditetapkan dalam Pelan Hala Tuju untuk Keahlian Penuh Timor-Leste dalam kumpulan serantau itu.

Pada masa sama, Xanana Gusmao turut berterima kasih atas komitmen dan sokongan berterusan Malaysia serta Anwar untuk membantu dalam penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN.

“Perkongsian antara kedua-dua negara mencerminkan kekuatan kerjasama dan keinginan bersama kita untuk keamanan, kestabilan dan pembangunan di rantau ini,” katanya.

Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini terdiri daripada 10 negara anggota: Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura, dan Vietnam.

Timor-Leste setakat ini telah diberikan status pemerhati rasmi dan menerima kelulusan dari segi prinsip untuk menjadi anggota ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Kemboja pada 2022.

Negara itu menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.

Pada 2023, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste berjumlah AS$43.7 juta (RM196.7 juta).

Jumlah eksport Malaysia ke Timor-Leste mencatat AS$43.3 juta (RM195.0 juta), manakala jumlah import produk daripada Timor-Leste pula berjumlah AS$0.4 juta (RM1.7 juta).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya