Malaysia kutuk tindakan Israel di Bukit Golan

Malaysia kutuk tindakan Israel di Bukit Golan

ASKAR Israel memeriksa senjata di sebuah pos tentera di Bukit Golan berhampiran sempadan dengan Syria.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk tindakan Israel yang memperluaskan penempatan haram di Bukit Golan, Syria.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, tindakan rejim Zionis itu adalah terang-terangan melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Syria.

Menurutnya, serangan udara Israel yang menyasarkan pelbagai lokasi di wilayah Syria bertentangan dengan prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa agar menunaikan tanggungjawab undang-undang dan moral mereka dengan memastikan rejim Zionis Israel segera menghentikan semua serangan haram mereka dan bertanggungjawab atas pendudukan haram di tanah Syria, selaras dengan Resolusi 497 (1981) Majlis Keselamatan PBB,” katanya, hari ini.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, Israel meluluskan rancangan untuk menggandakan populasi di Bukit Golan yang diduduki, mendakwa ancaman dari Syria masih wujud walaupun mendapat jaminan daripada pemimpin pejuang yang menggulingkan bekas Presiden, Bashar al-Assad minggu lalu.

Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata, kerajaan sebulat suara meluluskan rancangan lebih AS$11 juta (RM49 juta) untuk menggalakkan pertumbuhan demografi di Bukit Golan.

Netanyahu mendakwa langkah itu perlu kerana barisan hadapannya terdedah ‘bahaya’ di sempadan dengan Syria selepas kejatuhan rejim Bashar kepada pakatan pejuang yang diketuai oleh Islam Sunni.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Malaysia menuntut Israel mematuhi undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi PBB berkaitan, termasuk Resolusi 79/83 yang diterimapakai pada 3 Disember lalu.

“Malaysia terus menyokong kedaulatan, kemerdekaan, dan keutuhan wilayah Syria serta bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi mencapai keamanan, keselamatan, dan kestabilan yang berkekalan di Syria dan rantau Asia Barat yang lebih luas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya