PETALING JAYA: Malaysia telah menyampaikan permohonan kepada Arab Saudi untuk menambah bilangan kuota haji negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, permohonan berkenaan disampaikan beliau pada pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah semalam.
“Dr. Tawfiq tidak dapat memberikan jawapan dalam pertemuan itu, tetapi beliau sedaya upaya akan cuba untuk memenuhi permohonan kita.
“Permohonan tambahan kuota haji ini bukan sahaja telah kita lakukan secara lisan, tetapi juga secara bertulis sebelum ini,” katanya selepas majlis makan malam bersama komuniti Malaysia di Madinah semalam.
Dalam pertemuan itu, Mohamad yang dalam rangka lawatan rasmi ke Arab Saudi dari 10 hingga 14 Disember, disambut Dr Tawfiq di Al-Masjid Al-Nabawi, kira-kira pukul 12.20 tengah hari waktu tempatan (5.20 petang waktu Malaysia).
Pada musim haji lalu, Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota jemaah haji Malaysia sebanyak 31,600 jemaah, sama seperti tahun sebelum ini. – UTUSAN