Majoriti kanak-kanak GISBH di Perak diserah kepada keluarga - Utusan Malaysia

Majoriti kanak-kanak GISBH di Perak diserah kepada keluarga

SALBIAH Mohamed (berdiri, kiri) beramah mesra dengan tetamu pada perasmian Program Sejahtera Warga Emas peringkat negeri Perak 2024 di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebahagian besar kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global membabitkan rumah amal dikaitkan GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH) di negeri ini telah dituntut keluarga masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan dan operasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah itu antara 55 penghuni rumah amal GISBH yang ditempatkan di rumah jagaan di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Apa juga tindakan yang kita lakukan, semuanya adalah berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis. Setakat ini, proses siasatan masih dijalankan dan ada (kanak-kanak) yang telah dituntut dan ada juga yang belum.

“Secara spesifiknya saya tiada angka yang tepat berapa ramai kanak-kanak yang telah dituntut tapi majoritinya telah pun diserahkan kepada keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Sejahtera Warga Emas peringkat Negeri Perak 2024, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin dan Pengarah Seketariat Pembangunan Wanita Perak, Jamilah Zakaria.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, seramai 136 kanak-kanak GISBH masih belum dituntut keluarga dan kini ditempatkan di sembilan institusi JKM.

Beliau berkata, kanak-kanak yang masih di institusi JKM itu sudah dikenal pasti identiti dan dalam proses menunggu perintah interim untuk serahan keluarga mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 atau Orang Layak Dan Sesuai (OYLS) mengikut Seksyen 30(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mengulas lanjut Salbiah berkata, tiada tangkapan susulan kanak-kanak dalam Op Global sejak September lalu di negeri ini dan jumlahnya kekal sebanyak 55 orang.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan beliau berkata, bayi lelaki yang ditemukan Sabtu lalu di kawasan semak di belakang sebuah surau di Kampung Permatang dekat Sitiawan, kini berada dalam keadaan stabil.

Katanya, bayi yang ditinggalkan berbalut dengan kain itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Seri Manjung.

“Bagi aspek siasatan, kita serahkan kepada pihak polis dan di pihak JKM kita harus beri perlindungan kepada bayi itu termasuk mendaftarkannya dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan sijil kelahiran.

“Buat masa sekarang bayi itu masih di NICU. Apabila sudah stabil dan sihat, kita akan mendapatkan perintah mahkamah untuk di tempatkan di rumah jagaan di bawah JKM,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya