PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu digesa untuk menyemak semula serta meminda undang-undang yang membenarkan pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai bagi memastikan ia lebih seimbang dan adil.
Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, pihaknya mengiktiraf kepentingan menegakkan undang-undang yang memelihara moral awam dan keharmonian masyarakat.
Namun beliau berkata, hukuman-hukuman ini juga perlu mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi manusia.
“Badan Peguam Malaysia menggesa kerajaan negeri Terengganu dan kerajaan persekutuan untuk mempertimbangkan semula amalan sebat di khalayak ramai dengan menyemak dan meminda undang-undang yang membenarkan hukuman tersebut bagi memastikan ia bersifat seimbang, bersifat pemulihan dan menghormati maruah manusia.
“Selain itu, kami menyeru penghapusan sepenuhnya hukuman sebat di Malaysia. Sistem keadilan harus berusaha untuk mengimbangi moral, belas kasihan, dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Ezri, pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai cenderung memperburuk penghinaan dan penderitaan individu yang dihukum.
“Ia menjadikan mereka sebagai objek aib awam, sekali gus menjejaskan maruah daripada memenuhi tujuan sebenar hukuman untuk mendorong pemulihan dan keinsafan.
“Ini menjejaskan maruah individu tersebut dan dengan itu boleh dianggap sebagai pelanggaran terhadap Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa pelaksanaan sebat di khalayak ramai melampaui batasan yang ditetapkan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), yang menetapkan had hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah di seluruh negara.
“Walaupun Akta 355 membenarkan hukuman sebat, ia tidak memperuntukkan hukuman tersebut dilaksanakan di khalayak ramai,” jelasnya. – UTUSAN