KINABATANGAN: Majlis sambutan hari jadi bertukar menjadi mimpi ngeri apabila seorang mangsa maut dan seorang cedera parah akibat ditikam dalam pergaduhan di rumah pekerja di Ladang Santos NPC, di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa berusia 30-an yang mengalami kecederaan pada bahagian leher disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala, mangsa parah yang ditikam pada bahagian dada kini dirawat di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Asisten Superitendan Mohd. Zulfikar Abd Salam berkata, difahamkan sebelum pergaduhan berlaku terdapat majlis sambutan hari jadi anak kepada salah seorang pekerja ladang.
Selepas minum alkohol berlaku kekecohan hingga membawa kepada pergaduhan antara suspek iaitu Ricky Tenny berusia 40-an dan mangsa, Christian Andi yang berusia 30-an.
Suspek kemudian bertindak menyerang mangsa menggunakan sebilah pisau sehingga cedera di bahagian leher dan kedua-dua mangsa dipercayai berada dalam keadaan mabuk.
Apabila mendengar kekecohan berlaku, rakan sekerja mereka dikenali sebagai Bernadus Bagalewok,24, yang tinggal di depan rumah suspek bertindak keluar rumah.
“Suspek kemudian terus meluru ke arah Bernadus hingga menyebabkannya terkena tikaman di bahagian tengah dada.
Mangsa sempat menendang suspek selepas ditikam menyebabkan suspek terjatuh.
“Mangsa (Bernadus) sempat menjerit meminta tolong kemudian suspek terus melarikan diri dengan membawa pisau yang digunakan.
“Semasa suspek bergelut dengan rakan sekerja mereka (Bernadus), mangsa yang cedera di bahagian leher melarikan diri ke rumah pekerja di Blok B yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian untuk meminta bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Walau bagaimanapun, mangsa telah rebah di kerusi depan rumah berkenaan dan dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian akibat pendarahan di bahagian leher.
Mohd. Zulfikar berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk tindakan lanjut. Sementara itu, mangsa yang ditikam di bahagian dada kini sedang dirawat di wad zon merah namun, keadaan mangsa stabil.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – UTUSAN