JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyalurkan sumbangan wang tunai berjumlah RM500,000 kepada beberapa negeri yang dilanda banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, sumbangan itu adalah sebagai tanda keprihatinan sesama ummah.
“Wang sumbangan itu akan disalurkan menerusi majlis agama Islam negeri-negeri yang berkenaan. Kita doakan kesabaran dan kemudahan kepada penduduk yang terlibat bencana, semoga Allah merahmati kita,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari dan mendoakan keselamatan semua dan berharap agar kejadian banjir segera pulih.
Hingga pagi ini, seramai 134,175 orang daripada 40,694 keluarga terjejas banjir yang masih ditempatkan di 630 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan negeri.
Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding lebih 150,000 mangsa direkodkan pagi semalam, membabitkan negeri Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Johor, Perak, Pahang dan Melaka. – UTUSAN