ISKANDAR PUTERI: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyalurkan peruntukan berjumlah RM1 juta bagi membantu mangsa banjir yang dijangka berlarutan hingga Mac 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Hasrin Kamal Hashim berkata, sebanyak RM200,000 telah disalurkan kepada setiap pejabat daerah, manakala baki RM800,000 akan diberikan ketika dan pasca banjir.
“Bantuan ni bertujuan untuk membantu semua pegawai daerah membuat persiapan awal di pusat pemindahan sementara (PPS), khususnya dalam menyediakan makanan dan minum. Peringkat awal sebelum ini pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil alih selepas pembukaan PPS.
“Dengan bantuan ini, mudah- mudahan kita dapat menyalurkan dan membantu mangsa banjir,” katanya selepas menyampaikan replikas cek sumbangan bantuan banjir kepada Southern Volunteers berjumlah RM20,000 di Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan (Belia, Sukan & Sukarelawan), di sini hari ini.
Hasrin Kamal berkata, amil baitulmal di setiap daerah akan bekerjasama dengan jawatankuasa bencana daerah bagi menyelaraskan bantuan makanan dan keperluan lain kepada mangsa banjir.
Pasukan Briged Ansar juga akan digerakkan bagi membantu mangsa ketika pasca banjir, terutamanya untuk membersihkan masjid, surau dan rumah mangsa yang terlibat.
Selain MAINJ, Perbadanan Islam Johor (PIJ) turut memperuntukkan RM100,000 bagi membeli 1,000 kit mandian untuk disumbangkan kepada mangsa banjir.
Seramai 2,000 sukarelawan daripada Southern Volunteers akan digerakkan bagi membantu menyalurkan bantuan kepada pejabat daerah terlibat selain membantu ketika pasca banjir. – UTUSAN