KUALA TERENGGANU : Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM310 juta untuk tahun depan.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pihaknya optimis dapat mencapai sasaran itu berikutan peningkatan tahap kesedaran pembayar zakat di Terengganu sejak akhir-akhir ini.
Katanya, untuk tahun ini, MAIDAM mengutip sebanyak RM231.6 juta setakat semalam.
“Sasaran kita ialah RM285 juta dan kita perlukan kira-kira RM53 juta lagi dalam tempoh seminggu ini untuk mencapai matlamat tersebut.
“MAIDAM yakin sasaran akan tercapai kerana kebiasaannya, lebih banyak syarikat perniagaan dan individu tampil membayar zakat pada saat-saat akhir sebelum 2024 menutup tirai,” katanya selepas hadir menerima zakat sumbangan KPT Peladang Sdn. Bhd. berjumlah RM60,965 di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 60 peratus daripada kutipan zakat di Terengganu adalah dari kategori zakat pendapatan diikuti zakat perniagaan.
“Alhamdulillah, sejak 10 tahun kebelakangan ini, MAIDAM sentiasa mengagihkan bantuan zakat melebihi kutipan untuk manfaat lapan golongan asnaf yang layak terutama fakir miskin dan fisabilillah. Bagi tahun ini, kita sudah agih RM299 juta dan semua bentuk agihan ini dapat dilihat orang ramai melalui media sosial milik MAIDAM.
“Agihan yang dibuat sangat telus dan terperinci bagi menepis tanggapan negatif yang sering dilemparkan terhadap agensi kutipan zakat sebelum ini,” katanya. – UTUSAN