Bagi menghidupkan lagi suasana itu, Exco Pelancongan dan Tourism Selangor Datuk Ng Sue Lin melaksanakan pelbagai program promosi bagi menonjolkan lokasi-lokasi unik di bahagian utara negeri meliputi Kuala Selangor hingga ke Sabak Bernam.
Kesemua ini tidak akan terlaksana tanpa peluang daripada Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan berkenaan yang berperanan memperkenalkan anjung utara Selangor sebagai kawasan pelancongan yang berdiri sama tinggi dengan kawasan pelancongan lain di seluruh negara.
TMS2025 merupakan hala tuju kempen promosi pelancongan baharu yang menjalankan aktiviti promosi pelancongan besar-besaran bertujuan meningkatkan lagi profil dan kemajuan industri pelancongan Selangor.
Untuk rekod, negeri itu menyasarkan lebih lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa sempena kempen tersebut.
“Kerajaan bukan sahaja mahu pelancong tempatan, bahkan pelancong dari China, Hong Kong, Taiwan, Indonesia, India malah dari Timur Tengah datang ke Malaysia khususnya ke anjung utara Selangor kerana banyak lokasi menarik boleh dikunjungi.
“Saya berharap kesemua penggiat industri pelancongan sedia menerima kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa sekali gus meraikan pelancong dengan memberi khidmat dan layanan terbaik termasuk mementingkan aspek keselamatan.
“Ini sangat penting supaya apabila pelancong pulang ke negara asal, lawatan mereka meninggalkan kenangan yang manis dan indah dan kembali lagi ke negara kita,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan dari DAP yang fasih berbahasa Jawa itu terdahulu merasmikan produk pelancongan baharu, Funtasi Land, di Pantai Redang, Sekinchan, Sabak Bernam, di tengah program Fam Trip bersama pengamal media sempena TMS2025.
Mingguan Malaysia dan pengamal media juga makan tengah hari di Restoran Lembah Bernam kemudian mengikuti beliau melawat Terminal Kapal Terbang Sekinchan yang terletak di tengah sawah padi.
Secara kebetulan, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli melawat terminal itu, manakala Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat kawasan sama pada keesokannya.
BIODATA
Penggal DUN: 5
Kerjaya dan pengalaman:
Naib Pengerusi DAP Selangor
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pelancongan, Pembangunan Kampung Baru
Bekas Yang Dipertua Dewan Negeri Selangor
PRN Selangor: Menang 10,232 undi (4,018 undi majoriti) di DUN Sekinchan menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Goh Gaik Meng (6,214 undi)
Suee Lim melalui pejabatnya dan Tourism Selangor menganjurkan program tiga hari dua malam bersama Mingguan Malaysia dan pengamal media lain sempena TMS 2025 bagi meneroka lokasi-lokasi menarik di Kuala Selangor dan Sekinchan, baru-baru ini.
Antara kawasan menarik tumpuan, pengamal media berpeluang ke ‘pulau misteri’ yang hanya muncul beberapa hari tertentu dalam sebulan dan hanya boleh dikunjungi semasa air surut, iaitu Sky Mirror, Kuala Selangor.
Pengamal media turut mengunjungi Pantai Redang, Galeri Padi, Pusat Konservasi Kelip-Kelip, Sungai Panjang; Sunflower World Garden, tempat pembuatan tembikar tanah liat tradisional dan moden, Ramadas Pottery serta lawatan beberapa produk industri kecil dan sederhana (IKS). – UTUSAN
Mengulas lanjut, Suee Lim berkata, pelbagai lokasi menarik khususnya di anjung utara Selangor bakal memberi manfaat besar kepada rakyat dan industri yang akan mengembangkan lagi kitaran ekonomi setempat.
“Kerajaan akan terus memastikan mana-mana produk kampung atau mempunyai elemen pelancongan boleh ditonjolkan supaya dapat menjana kesan sampingan hasil ekonomi untuk rakyat seluruh negara.
“Kawasan cantik begini eko pelancongannya wajib kita bangunkan. Mahu bercuti? ‘Pusing’ Selangor dahulu, jangan lupa datang ke anjung utara Selangor,” katanya.