PETALING JAYA: Satu perintah diperoleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi melarang pihak-pihak tertentu untuk berurusan dengan harta-harta melibatkan dana berkait 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah AS$340 juta di luar Malaysia.
Kesemua harta 1MDB berkenaan ketika ini dalam simpanan UK Court Fund Office, United Kingdom.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, perintah larangan ini diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada 10 Disember lalu.
Kata kenyataan itu, keputusan itu selepas berpuas hati dengan bukti dikemukakan pihak pendakwaan yang menunjukkan bahawa dana berkenaan mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.
“Perintah ini juga sekali gus turut menghalang Ketua Pegawai Eksekutif Petrosaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid daripada mengakses dana berkenaan,” kata kenyataan itu.
SPRM berkata, perintah larangan ini dibuat di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLTFPUAA 2001) berdasarkan permohonan yang difailkan oleh pihak pendakwaan pada 2020.
Sebelum ini, SPRM juga turut berjaya mendapatkan perintah larangan ke atas 41 barangan kemas di Hong Kong bernilai Pound Sterling (GBP)9,417,842.60 milik Tarek Obaid pada 13 Mac lalu. – UTUSAN