ALOR SETAR: Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini yang ditutup selama 10 hari sejak 29 November lalu ekoran banjir kembali beroperasi mulai hari ini.
Pengurus LTSAH, Ikram Alif Mansoor berkata, sebanyak 14 penerbangan dijadualkan pada hari ini melibatkan tujuh pelepasan dan tujuh ketibaan.
“LTSAH sudah mula beroperasi semula selepas banjir sejak 29 November lalu. Batik Air yang sepatutnya mula beroperasi 5 Disember lalu tapi ditangguhkan akibat banjir juga sudah mula beroperasi hari ini,” katanya ketika ditemui di Balai Pelepasan LTSAH, hari ini.
Menyentuh tentang landasan LTSAH yang mengalami kerosakan, kata beliau, pihaknya akan melakukan pemeriksaan dari masa ke semasa setelah dibaik pulih sebelum ini.
“Kami giat melakukan pemeriksaan untuk memastikan semua berada dalam keadaan baik. Ada sedikit kerosakan namun ia sudah dibaiki sepenuhnya. Mengenai gelombang kedua banjir, kami akan bekerjasama dengan MetMalaysia untuk perkembangan terkini,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penumpang, Wirda Huda Badrulsham, 24, melahirkan rasa syukur kerana dapat meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur yang tertangguh sejak lapangan terbang itu ditutup.
“Kami tiga beradik sudah tempah tiket untuk ke Kuala Lumpur pada 29 November lalu tetapi bila LTSAH tutup, semua tertangguh. Lama menanti akhirnya buka juga hari ini. Alhamdulillah kami merancang untuk bertemu dengan sepupu yang pulang bercuti dari Afrika Selatan,” katanya.
Menurut Amirul Fairul Aswadi, 22, dia membuat keputusan untuk terus menempah tiket penerbangan hari ini untuk pulang bercuti ke Kedah.
“Bila dapat tahu LTSAH sudah buka saya terus tempah semalam tanpa tangguh lagi sebab sudah lama rancang nak balik bercuti di kampung,” ujarnya.
Pada 29 November lalu, Malaysia Airport memaklumkan landasan terbang LTSAH ditutup sementara berikutan keadaan banjir yang semakin memburuk melanda bandar raya ini. – UTUSAN