LTSAH dijangka kembali beroperasi seawal Isnin

LTSAH dijangka kembali beroperasi seawal Isnin

LANDASAN terbang LTSAH yang dijangka kembali beroperasi pada Isnin selepas ditutup akibat banjir sejak Jumaat lalu di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini yang ditutup sejak 29 November lalu akibat bencana banjir dijangka dibuka dan beroperasi semula seawal Isnin ini.

Pengurus LTSAH, Ikram Alif Mansoor berkata, pihaknya masih menitikberatkan aspek keselamatan walaupun yakin dapat membuka landasan di lapangan terbang itu secepat mungkin.

“Kita telah memaklumkan mengenai penutupan landasan ini sehingga esok, jadi kita akan cuba untuk buka landasan secepat mungkin tetapi sekiranya tidak boleh mungkin akan tambah masa dalam sehari, dua lagi sebelum ia boleh beroperasi semula.

“Kerja-kerja pembersihan telah dan sedang dijalankan dan pembaikan peralatan juga dilakukan, fokus utama sekarang adalah untuk membersihkan tempat yang kritikal iaitu kawasan pesawat mendarat dan setakat ini ia sudah dibersihkan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meninjau situasi semasa LTSAH yang terjejas banjir baru-baru ini.

Tambah Ikram Alif, pihaknya juga perlu menguji beberapa perkara bagi melihat dan menilai kerosakan yang berlaku akibat banjir itu, namun setakat ini tiada kerosakan besar yang dikesan.

“Landasan kapal terbang ini adalah sejauh 2.7 kilometer (km) dan semasa banjir hari itu, kawasan landasan ditenggelami air pada paras 50 sentimeter (sm) sehingga semalam, kawasan laluan teksi 80sm dan kawasan apron hanya 4sm.

“Sepanjang tempoh penutupan landasan itu, banyak penerbangan yang terpaksa dibatalkan, sehari dianggarkan 20 ke 24 penerbangan masuk dan keluar dari Alor Setar, jadi kita akan buat keputusan esok dan pihak penerbangan turut akan buat keputusan sama ada akan membenarkan kapal terbang syarikat mereka keluar masuk Alor Setar atau tidak,” katanya.

Selasa lalu, akhbar ini melaporkan sebahagian landasan terbang LTSAH masih digenangi air menyebabkan penerbangan berlepas dan tiba yang dijadualkan juga belum dapat diteruskan.

Jurucakap LTSAH memaklumkan, sebarang perkembangan semasa berhubung operasi lapangan terbang itu perlu dirujuk dengan pihak pengurusan Malaysia Airport. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya