Lorenica Cikgu Jawi terima anugerah Maulidur Rasul

Lorenica Cikgu Jawi terima anugerah Maulidur Rasul

LORENICA Frenila Masundim menerima anugerah Tokoh Ibnu Uraiqith yang disampaikan oleh James sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Paitan, Beluran Sabah baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengiktirafan sebagai Tokoh Ibnu Uraiqith sempena sambutan Maulidur Rasul peringat daerah Paitandi Sabah cukup bermakna bagi Lorenica Frenila Masundim.

Guru bukan Islam yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang, Beluran, Sabah menerima pengiktirafan berkenaan susulan sumbangannya memperkembang tulisan jawi dalam kalangan murid sekolah tempat dia mengajar.

Lorenica, 34, berkata, pengiktirafan itu menunjukkan bahawa agama Islam mengiktiraf sumbangan semua individu tanpa mengambil kira latar belakang bangsa dan agama.

“Bagi saya, anugerah yang diberikan ini menunjukkan bahawa tiada batas agama dalam melakukan sesuatu kebaikan,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Anugerah Tokoh Ibnu Uraiqith itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Paitan pada baru-baru ini.

Menurutnya, dia akan terus berusaha melakukan yang terbaik dalam semua bidang yang diceburi untuk menghargai dan mensyukuri pengiktirafan yang diterima daripada pelbagai pihak.

“Pengiktirafan ini menunjukkan bahawa agama Islam mengiktiraf sumbangan individu daripada agama lain. Ini adalah amalan yang patut dicontohi oleh semua pihak iaitu kita patut menghargai jasa dan sumbangan semua individu tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan kepercayaan,” katanya.

Sementara itu, James berkata, penganjuran majlis itu bukan sekadar memperingati keperibadian Rasulullah SAW tetapi juga, untuk menghargai sumbangan badan dakwah dan individu yang membantu dalam menyebarkan ilmu dan menyemarakkan syiar Islam.

“Melalui program dakwah, ceramah agama serta pelbagai inisiatif lain, badan dakwah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) telah memainkan peranan penting dalam menyebarkan ilmu, membina akhlak mulia, dan memperkukuh pegangan agama dalam kalangan masyarakat.

“Usaha gigih ini merupakan satu sumbangan yang sangat bernilai dalam membina masyarakat yang beriman dan bertaqwa. Kita berharap segala jasa dan bakti yang dicurahkan diberkati dan dibalas dengan sebaik-baik ganjaran oleh Allah SWT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN