IPOH: Kenaikan air di sepanjang Sungai Perak merupakan antara risiko yang diberikan perhatian ekoran ramalan gelombang kedua banjir bermula 8 Disember ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini memandangkan kawasan Hulu Perak merupakan antara lokasi taburan hujan yang boleh mengakibatkan kenaikan paras air di Temenggor.
“Saya minta Pegawai Daerah Hulu Perak pun lihat, sebab di antara amaran gelombang kedua ini ialah Hulu Perak.
“Jika hujan lebat di Temenggor, di Royal Belum, sudah tentu Sungai Perak itu akan dilimpahi air, mahu tak mahu empangan akan melepaskan air dan mahu tak mahu keseluruhan sepanjang Sungai Perak itu akan banjir,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Gelombang kedua diramal berlaku dari 8 hingga 14 Disember ini, dan Saarani berkata kesemua pihak termasuk jentera kerajaan negeri sedang membuat persediaan.
Beliau juga berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk parti politik di Perak juga telah akan mengambil langkah persediaan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
Kawasan bersebelahan Sungai Perak terutama di Kuala Kangsar dan Sungai Siput pada dua bulan lalu mengalami banjir besar ekoran kenaikan paras air sungai tersebut yang disifatkan terburuk sejak 2014.
Terdahulu sebelum sidang akhbar, Menteri Besar menyaksikan memorandum persefahaman antara Tourism Management Berhad dan Rimba Adventures Sdn. Bhd. bagi penganjuran Rimba Raid di Perak selama tiga tahun dari 2024 hingga 2026. – UTUSAN