Lelongan aset milik Vida ditunda

Lelongan aset milik Vida ditunda

KEADAAN di kediaman Vida di Meru dekat Ipoh ketika tinjauan hari ini. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lelongan aset milik usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman  atau Vida yang dijadualkan di kediamannya di sini hari ini ditangguhkan sementara menunggu perintah selanjutnya daripada mahkamah.

Peguam mewakili syarikat Ah Design Communication, Samir Zainal berkata, perintah itu dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lalu selepas menerima permohonan penangguhan daripada Vida Beauty Sdn Bhd.

Menurutnya, dalam notis yang diberikan, Vida selaku defendan memerlukan tempoh untuk menilai semula semua barangan yang telah disita.

Katanya, Vida mengatakan ada dalam senarai barangan tersebut merupakan milik syarikatnya iaitu Vida Beauty Sdn Bhd.

“Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara. Tarikh lelongan baru belum dikeluarkan lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang makluman rasmi daripada pihak Vida untuk menyelesaikan kes tersebut.

Jelasnya, beliau tidak dihubungi oleh pihak Vida dan tidak menerima apa-apa permohonan untuk kes itu diselesaikan sama ada melalui Vida atau peguam usahawan itu.

“Kami akan teruskan dengan urusan selanjutnya mengikut prosedur yang ditetapkan mahkamah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di kediaman Vida di sini mendapati aktiviti harian oleh kakitangannya berjalan seperti biasa.

Pihak media dimaklumkan Vida masih berada di luar negara.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan empat kenderaan mewah antara barangan milik Vida yang disita selepas usahawan itu gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada syarikat kontraktor pembinaan, Ah Design Communication sebanyak RM1,060,285 sejak 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN