KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang tular mengheret seekor kucing peliharaannya bulan lalu didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas perbuatannya itu.
Hakim Norina Zainol Abidin membuat keputusan itu selepas Goh Kuan Pan,43, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dikemukakan terhadapnya.
Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, lelaki itu perlu dipenjara selama dua bulan.
Pada 2 Disember lalu, Kuan Pan turut didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan serupa. Pendakwaan pada tarikh berkenaan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Pada prosiding hari ini, lelaki yang bekerja sebagai eksekutif jualan itu didakwa telah menyeret seekor kucing baka British Short Hair berwarna kelabu di atas lantai dengan menggunakan seutas tali berwarna merah jambu di laluan koridor sebuah apartment, Jalan Klang Lama, di antara 11.17 hingga 11.42 malam, pada 21 November lalu.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1) Akta Binatang 2013 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara minimum satu tahun atau kedua-dua sekali.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Wilayah Kuala Lumpur, Syed Hilfi Syed Ali mencadangkan hukuman yang setimpal dikenakan terhadap Kuan Pan sebagai pengajaran kepada lelaki itu dan dilucut hak penjagaan kucing tersebut.
Bagaimanapun, peguam bela, Gabriel Susayan yang mewakil Kuan Pan merayu untuk mahkamah memberikan satu perintah bon kelakuan baik dengan cagaran serta hukuman denda yang minima.
“Pihak pembelaan juga memohon supaya tidak melucut hak penjagaan dan kucing dipulangkan kembali kepadanya. Dia berjanji akan menjaga kucing dengan baik selepas ini.
“Saya difahamkan, anak guam saya bekerja sebagai eksekutif jualan dan pemasaran yang memperoleh pendapatan RM5,000 sebulan dan perlu menanggung kedua ibu bapanya. Dia juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah yang lampau dan telah menjimatkan masa dan kos mahkamah,” kata Gabriel.
Mengikut fakta kes, pada 23 November lalu, Pegawai Veterinar, Dr. Siti Nor Ain Fatihah Hamzah bersama tiga orang Pegawai Kebajikan Haiwan Jabatan Veterinar Wilayah Kuala Lumpur telah bertindak ke atas satu aduan awam berkaitan satu rakaman tular di media sosial berkenaan seekor kucing yang diheret menggunakan seutas tali.
Pasukan telah mengambil seekor kucing jantan baka ‘British Short Hair’ bewarna kelabu dan satu utas tali berwarna merah jambu berukuran 153cm daripada lelaki itu untuk siasatan lanjut.
Kucing tersebut telah diperiksa oleh Pegawai Veterinar dan mendapati keadaan kucing sihat dan tiada sebarang kecederaan. Kucing kini berada di bawah jagaan Jabatan Veterinar Wilayah Kuala Lumpur. – UTUSAN