PETALING JAYA: Pelakon, Hisyam Hamid, menempelak tindakan lelaki yang ‘angkat tangan’ melakukan keganasan rumah tangga terhadap isteri.
Ujar Hisyam atau Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 39, sebagai ketua keluarga, lelaki sepatutnya melindungi isteri dan bukannya menjadikan mereka tempat melepaskan amarah.
“Sebagai seorang ketua keluarga, tanggungjawab kita untuk melindungi keluarga terutamanya wanita. Bukannya ambil kesempatan apalagi ‘bantai’ mereka.
“Bagi saya lelaki yang lemah sahaja akan pukul perempuan. Dari segi fizikal kalau mahu dibandingkan, memanglah wanita lebih lemah. Oleh itu mengapa sampai mahu pukul?
“Tanggungjawab kalian jaga dia dan pastikan kesemua keperluannya cukup. Kalau betul mahu pukul, carilah seseorang yang sepadan,” tambahnya.
Hisyam berkata demikian ketika mengulas mengenai situasi rakan artis yang mendedahkan diri mereka menjadi mangsa keganasan rumah tangga oleh suami sendiri.
Jelas pelakon La Luna itu lagi, lelaki yang mempunyai masalah baran perlu mendapatkan rawatan daripada pakar psikologi agar tidak melukakan orang lain.
“Kaum lelaki yang suka memukul atau panas baran semuanya ada masalah psikologi. Carilah satu ruang untuk anda melepaskan tekanan seperti jumpa pakar.
“Di Jepun dan Singapura, ada satu tempat yang anda boleh sewa untuk pecahkan barang. Cari ruang untuk anda lepaskan kemarahan tapi bukan dengan cara memukul orang yang lebih lemah daripada anda.
“Setiap lelaki mesti ada emak atau nenek. Jadi bayangkan jika kita di tempat mereka. Orang yang kita pukul itu adalah anak seseorang. Apa perasaan mereka?,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media Astro One, semalam.
Mengulas lanjut mengenai cara menghadapi tekanan, Hisyam bersyukur kerana lakonan banyak membantunya dalam mengawal emosi dan mengeluarkan ekspresi diri.
“Pada saya lakonan adalah cara saya melarikan diri kemarahan. Watak yang saya lakonkan secara tidak langsung boleh menghilangkan tekanan dalam diri saya seperti dalam drama Andai Tiada Dia.
“Dalam drama That Cover Girl juga ada babak saya hentak dan pecahkan barang,” jelasnya.
Terdahulu, bekas model, Zahnita mencuri tumpuan apabila memaklumkan menjadi mangsa keganasan rumah tangga membuatnya memfailkan cerai terhadap suami, Abdul Zackery Ghouse, minggu lalu. – UTUSAN