Lelaki mengaku rakam rakan sekerja buang air besar 

Lelaki mengaku rakam rakan sekerja buang air besar 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki pekerja stor kedai serbaneka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan merakam rakan sekerjanya membuang air besar, Jumaat lalu. 

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang berusia 19 tahun didakwa telah mengaibkan kehormatan seorang perempuan yang bekerja sebagai juruwang di kedai terbabit dengan cara merakam video mangsa dengan maksud menganggu kesantunan wanita itu di sebuah kedai serbaneka, Jalan Excella, Ampang Hilir dekat sini pada pukul 8.23 malam, 20 Disember lalu. 

Difahamkan, tertuduh telah merakam mangsa di dalam tandas selama 37 minit.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 serta memohon hukuman yang setimpal. 

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu kepada mahkamah dikenakan jumlah jamin yang rendah. 

“Saya mohon kepada pihak mahkamah untuk memberikan jumlah jaminan yang minima kerana hanya ayah saya seorang sahaja yang bekerja buat masa ini,”kata remaja itu. 

Majistret Amalina Basirah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,800 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan 5 Februari 2025 untuk mendapatkan laporan sosial tertuduh memandang remaja terbabit merupakan pesalah muda sebelum hukuman dijatuhkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN