KLUANG: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencabul dan cuba merogol seorang wanita di dalam tandas awam di Laman Kreatif, Kampung Melayu, di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd. Azmi Hussin berkata, kejadian berlaku pukul 5.20 petang ketika seorang wanita berusia 24 tahun ingin menggunakan tandas tersebut.
Ketika memasuki tandas, mangsa mendapati satu daripada dua pintu tandas tertutup tanpa mengesyaki apa-apa yang mencurigakan.
“Semasa mangsa mahu masuk ke dalam tandas hadapan, tiba-tiba seorang lelaki berusia 34 tahun keluar dari tandas bahagian belakang dan menyuruh mangsa diam dan terus mengunci pintu utama serta menghalang pintu tersebut.
“Mangsa kemudiannya menjerit meminta bantuan tetapi suspek telah mendekatinya menyebabkannya terjatuh dan mengambil kesempatan itu dengan menindih badan mangsa dengan mukanya diletakkan di dada mangsa,” katanya semalam.
Katanya, tangan kiri suspek memegang pinggang, manakala tangan kanannya menekup mulut mangsa.
“Mangsa yang ketakutan lalu menggigit tangan suspek dan mencakar mukanya dan membolehkannya melarikan diri keluar dari tandas untuk mendapatkan pertolongan,” katanya.
Suspek berjaya ditangkap orang ramai yang berada di kawasan berkenaan dan diserahkan kepada pihak polis.
Siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang penganggur turut mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan suspek kini direman selama empat hari bermula semalam.