PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki dipercayai menyebabkan kebakaran lima buah rumah termasuk rumahnya sendiri di Rancangan Rumah Murah Kuang, Sungai Buloh di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 7.06 malam.
Menurutnya, hasil maklumat awal daripada orang awam mendapati lelaki terbabit bertindak membakar rumahnya sendiri sehingga menyebabkan kebakaran telah merebak ke empat lagi rumah bersebelahan.
“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan oleh mana-mana pihak dan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan lelaki terbabit direman sehingga 4 Disember ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat iaitu Inspektor Mohamad Azammuddin Mohd. Razib di talian 016-5661597.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, tiga rumah yang terbakar antara 70 hingga 100 peratus manakala dua lagi terbakar lima peratus dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, seramai 13 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang dan Sungai Buloh dikerahkan ke lokasi kejadian.
Katanya, api dapat dikawal pada 7.49 malam sebelum kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada 12.26 tengah malam tadi.
Beliau berkata, seorang anggota dari BBP Batu Arang cedera dalam operasi pemadaman dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.
“Anggota tersebut dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan,” katanya. – UTUSAN