Lelaki dipercayai cuba seludup 81 kg metamfetamin bernilai RM2.6 juta ke Sabah

Lelaki dipercayai cuba seludup 81 kg metamfetamin bernilai RM2.6 juta ke Sabah

NORLELA Ismail menunjukkan barangan rampasan selepas sidang akhbar atas kejayaan menumpaskan kes penyeludupan dadah jenis syabu seberat 81 kilogram di Kompleks Kastam Kargo di KLIA. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan percubaan seorang lelaki yang cuba menyeludup dadah jenis metamfetamin seberat 81 kilogram (kg) bernilai RM2.6 juta ke Sabah.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pihaknya mengenal pasti seorang lelaki dipercayai warga tempatan mengepos empat bungkusan melalui sebuah agensi kurier di Shah Alam pada 13 Disember lalu.

“Dadah itu berjaya dikesan ketika melalui mesin pengimbas di sebuah operator terminal kargo di Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 17 Disember lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Katanya, pasukan operasi mengesan objek mencurigakan dan apabila diperiksa pihaknya menemui 40 bungkusan plastik lutsinar yang ada mengandungi serbuk kristal iaitu dadah.

“Siasatan awal ke atas slip penghantaran turut mendapati destinasi terakhir semua kotak berkenaan ialah di Kota Kinabalu, namun barang itu diikrarkan sebagai alat tulis.

“Suspek berkenaan juga sengaja menggunakan syarikat dan alamat pengirim yang palsu setelah semakan lanjut JKDM dengan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” jelasnya.

Kes berkenaan masih disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan itu boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

“Operasi ini juga dicapai secara usaha kolaborasi JKDM dengan Bahagian Penguatkuasaan Malaysia Airports Holdings Berhad selaku pihak berkuasa zon KLIA,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa masyarakat agar membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan termasuk rokok, minuman keras dan lain-lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya