KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam di atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan mengancam seorang pemilik rumah dengan menampal notis ugutan.
Majistret Illi Marisqa Khalizan memutuskan demikian setelah tertuduh, Ong Woey Shuin, 35, yang berkerja sambilan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh perlu dipenjara selama tiga bulan.
Mengikut pertuduhan, Woey Shuin didakwa telah menampal notis berunsurkan ugutan yang mengancam keselamatan diri serta mengunci unit rumah milik Abdul Rahman Abdul Aziz, 56, dengan rantai besi berserta mangga pada pukul 8 pagi, 28 November lalu, di Taman Pantai Permai, Jalan Pantai Dalam di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-keduanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri mana tertuduh diwakili peguam bela Simret Singh.