Lelaki berang hisap rokok di minyak stesen mengaku tidak bersalah 

Lelaki berang hisap rokok di minyak stesen mengaku tidak bersalah 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang berang ditegur kerana merokok di sebuah stesen minyak sehingga tular di media sosial, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu, Isnin lalu. 

Tertuduh, R. Simacalam, 35, didakwa memandu Proton Perdana dengan cara melulu yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan PJU 10/10B, Damansara Damai pada pukul 2.55 petang, 9 Disember lalu.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda minimum RM10,000 dan maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya,  Nurul Husna Amran mencadangkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam bela V. Pushparajan yang mewakili tertuduh merayu jaminan paling minimum diberikan ke atas tertuduh.

“Anak guam saya hanya bekerja sebagai penolong kedai runcit dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sahaja. Dia juga perlu menanggung ibu dan seorang abang yang lumpuh,” kata Pushparajan. 

Majistret Farah Azura Mohd. Saad kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Januari 2025 untuk sebutan semula kes. 

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang individu sedang berjalan ke kenderaan yang diletakkan di kawasan stesen minyak tersebut sambil menghisap rokok, lalu ditegur oleh orang awam.

Berang dengan teguran itu, lelaki berkenaan bertindak melakukan provokasi dengan memandu secara membahayakan dan menghalang laluan kenderaan dipandu oleh orang awam berkenaan.

Pada 11 Disember lalu, polis membuka kertas siasatan berhubung kes video itu  mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya