Legenda bola sepak Perak antara mangsa banjir - Utusan Malaysia

Legenda bola sepak Perak antara mangsa banjir

RAJA Azlan Shah Raja So'ib membersihkan rumahnya yang terjejas akibat banjir kilat di Arena Kepayang Putra, Fair Park di Ipoh. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Legenda bola sepak Perak era 1990-an, Raja Azlan Shah Raja So’ib merupakan antara penduduk yang menjadi mangsa banjir kilat di kawasan perumahan Arena Kepayang Putra, Fair Park di sini.

Beliau yang sudah 25 tahun tinggal di situ bersama keluarga berkata, kejadian tersebut adalah terburuk pernah dihadapi oleh penduduk setempat.

“Kami semua tidak menjangka banjir sebesar ini. Ini kali pertama yang serius begini,” katanya semasa ditemui ketika dia membersihkan rumahnya yang ditenggelami air melepasi paras pinggang.

Kejadian hujan lebat pada lewat Sabtu lalu yang berterusan selama beberapa jam menyebabkan banjir kilat setinggi 1.5 meter, dan merupakan kali pertama berlaku sejak 28 tahun kawasan itu didiami.

Menceritakan pengalamannya Raja Azlan berkata, air banjir naik secara luar biasa berlaku bermula pada pukul 12 tengahari  dan tidak sampai dua jam air sudah naik tinggi.

“Kami terperangkap di sini. Ada yang cuba keluar menggunakan kenderaan, tetapi tersangkut kerana air sudah naik tinggi,” katanya.

Jelasnya, beliau bersama keluarga meninggalkan rumah kira-kira pukul 6 petang apabila bekalan elektrik ditutup oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kembali semula ke rumah pagi tadi setelah air surut.

Raja Azlan yang kini merupakan Pengarah Teknikal Perak FC menganggarkan kerugian dialami mampu mencecah ratusan ribu ringgit terutama sekali tiga kenderaannya tidak boleh bergerak akibat ditenggelami air. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN