KUALA LUMPUR: Projek Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng dan Kuala Kangsar, Perak yang menjadi penyelesaian kepada masalah kesesakan trafik yang sering berlaku di kawasan Terowong Menora bakal disiapkan dalam masa empat tahun.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, projek sepanjang 60.88 kilometer itu dijangka menelan belanja RM4.513 bilion.
“Projek lebuh raya WISE ini dirancang untuk mengurangkan kesesakan di Terowong Menora yang menjadi laluan penting di negeri Perak, terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.
“Laluan baharu ini akan memberikan alternatif yang lebih cekap dan selamat kepada pengguna jalan raya,” katanya dalam Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd. Ghaffar yang meminta beliau menyatakan berapakah anggaran kos pembinaan Lebuh Raya WISE di Perak dan bilakah ia dijangka akan siap untuk beroperasi.
Terdahulu, dalam Belajawan 2025, WISE dimasukkan sebagai satu daripada lima projek berkepentingan rakyat yang akan diberi keutamaan, menggunakan pendekatan Kerjasama Awam-Swasta (PPP).
Lebuh raya itu akan menjadi laluan alternatif, khususnya bagi kenderaan berat di kawasan Terowong Menora di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), laluan yang dilapor merekodkan banyak kemalangan, termasuk maut, selain kepadatan trafik pada waktu tertentu. – UTUSAN