PUTRAJAYA: Nilai keseluruhan anggaran kerosakan disebabkan bencana banjir besar yang melanda seluruh negara sehingga kini sudah pun mencecah RM177,243,277 melibatkan 15,456 orang terkesan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sejumlah 28,245 hektar kawasan pertanian terjejas dengan sektor padi paling teruk terkesan merangkumi 13,764 individu dengan keluasan sawah iaitu 27,742 hektar.
Katanya, anggaran kerugian pula hampir RM160 juta dan pihak kementerian sedia menawarkan bantuan tunai mengikut umur padi yang rosak dengan kadar RM876 jika bawah 70 hari sehektar.
“Pesawah terbabit layak dipertimbangkan menerima Tabung Bencana Tanaman Padi dan Skim Takaful Tanaman Padi yang dilancarkan 13 September lepas.
“Turut terkesan sama ialah 599 orang bukan tanaman padi membabitkan kawasan seluas 469 hektar dengan kerugian dianggarkan RM4.1 juta,” katanya selepas melepaskan Skuad Ihsan Madani KPKM di sini hari ini..
Mohamad berkata, sektor perikanan juga terjejas apabila seramai 250 individu direkodkan termasuk peserta akuakultur dengan anggaran kerosakan mencecah lebih RM8.9 juta.
“KPKM juga mencatatkan sejumlah 250 penternak yang terkesan akibat banjir buruk tersebut dengan mereka terpaksa menanggung kerugian RM2.57 juta,” tegas beliau lagi.
Justeru jelasnya, mereka daripada sektor bukan padi itu boleh memohon bantuan bukan berbentuk kewangan menerusi Tabung Bencana Pertanian yang ada disediakan KPKM. – UTUSAN