KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperbanyakkan inisiatif untuk memperkukuhkan lagi ekonomi komuniti India pada tahun hadapan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pembangunan ekonomi komuniti India seiring dengan proses pembangunan seperti yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Anwar sudah mengarahkan dirinya untuk menggerakkan dan mengilhamkan pelbagai program lagi yang dapat memberi manfaat kepada komuniti India melalui agensi kerajaan yang lain.
“Kerajaan Madani di bawah kepemimpinan Anwar cukup komited dalam pegangannya untuk membela harapan dan nasib semua bangsa di negara ini termasuk masyarakat India.
“Perdana Menteri melihat, mendengar dan membaca setiap perkembangan berkaitan dengan hal ehwal komuniti India di negara ini,” katanya dalam kenyataan sempena Tahun Baharu 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti India di negara ini sudah terserlah melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan pada 2024.
“Malah setiap kali Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melancarkan inisiatif baharu, beliau (Perdana Menteri) akan menghubungi saya untuk memastikan segala inisiatif mendahulukan sistem penyampaian, pemantauan dan perlaksanaan yang terbaik.
“Beliau cukup prihatin dengan ‘keberhasilan’ setiap inisiatif yang dilaksanakan,” katanya.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, setakat ini terdapat tujuh inisiatif diumumkan KUSKOP memberikan impak yang cukup baik dan untuk tahun depan, proses penambahbaikan dan tambah nilai akan dilaksanakan sebelum diumumkan.
Jelasnya, usaha tersebut pastinya akan memberi khabar gembira terutama kepada komuniti India di dalam negara ini.
“Harapan saya hanyalah, pastikan segala program, inisiatif yang diumumkan dapat dikongsikan termasuk cerita-cerita kejayaan. Jangan kita terpedaya dan terpengaruh dengan cerita-cerita ‘syok sendiri’ yang direka oleh kumpulan tertentu untuk kepentingan politik,” katanya. – UTUSAN