KUALA LUMPUR: Tindakan Pas yang dilihat seperti ‘jaguh’ dalam mempertahankan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa mempunyai agenda tersendiri demi kepentingan politik parti itu.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, parti Islam itu dikatakan sanggup melakukan apa sahaja termasuk mempertahankan Najib pula pada kali ini meskipun Pas antara parti yang ‘menyerang’ pentadbiran bekas Perdana Menteri itu suatu ketika dahulu.
Malah, katanya, Pas seharusnya tidak menggunakan nama ‘Islam’ demi menghalalkan setiap tindakan dan keputusan mereka.
“Pas ini betul-betul dikatakan sebagai politik kepura-puraan demi kepentingan mereka. Dulu Pas di antara juara yang menyerang Najib, dulu Pas juga kempen untuk melawan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada 2008 kita di antara yang mencapai prestasi terbaik dan di antara juara yang menentang Najib.
“Pas lupakah tiga tahun lepas sewaktu menjadi kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN), mereka yang menjatuhkan hukuman ke atas Najib? Mereka lupakah dan kenapa mereka diam?
“Sekarang mereka cuba untuk dapatkan kepentingan politik dengan melaga-lagakan antara UMNO dan PH, mereka pula menjadi pembela Najib. Sebab itu saya cadangkan lebih baik Pas gugurkan nama Islam dari nama parti itu kerana berjuang mengikut parti politik mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Sebelum ini, tular di media sosial sepucuk surat yang dikeluarkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengarahkan ahlinya berhimpun bagi ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ pada 6 Januari depan, bermula pukul 9 pagi di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.
Menurut Takiyuddin, himpunan berkenaan diadakan bagi menunjukkan solidariti bersama Najib dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah adendum melibatkan tahanan rumah.
Sementara itu, Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, parti itu juga tidak menghalang ahli-ahlinya daripada menyertai perhimpunan solidariti buat Najib tersebut.
Begitu juga dengan Amanah yang setakat ini tidak menghalang ahli-ahlinya untuk menyertai perhimpunan solidariti buat bekas Perdana Menteri itu di mana Ketua Pemudanya, Mohd. Hasbie Muda berkata, parti itu menyerahkan kepada ahli-ahlinya berhubung perkara tersebut memandangkan ia adalah hak setiap ahli.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga merupakan bekas ahli Pas turut berkata, corak politik Pas yang ‘hipokrit’ ini perlu dinilai kembali oleh rakyat dengan membuat pertimbangan dalam setiap keputusan dan ketetapan yang dibuat oleh parti Islam itu sendiri.
“Sikap Pas yang tiada prinsip ini berjuang ikut kepentingan parti politik tersendiri, mengharamkan mana yang halal, fitnah pun jadi halal sehingga dikatakan jihad dengan mengambil contoh kes Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad. Apa nak jadi dengan Pas ini?” soalnya lagi. – UTUSAN