PUTRAJAYA: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memiliki lebih daripada 700 harta intelek dan produk berpotensi boleh dikomersialkan para pemain industri yang berminat.
Menurut Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim, kesemua hasil penyelidikan UMT berstatus Tahap Ketersediaan Teknologi dari skala 4 hingga 8 dan hanya memerlukan sokongan luar bagi pengkomersialan
Katanya, antara produk unik universiti tersebut, OptiFeed yang mampu membantu penternak akuakultur tempatan dari segi penjimatan kos sehingga 26 peratus.
Ia dihasilkan empat penyelidik UMT dari dua fakulti berbeza di Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan diketuai Dr. Aidilla Mubarak dengan geran sebanyak RM102,180 sahaja.
“Projek ini bermula pada 2018 namun sudah berjaya mencapai banyak kejayaan dengan meraih lima anugerah pengiktirafan atas inovasi kajian tersebut,” katanya menerusi teks ucapan pada Majlis Sidang Akhbar Inovasi UMT 2024, di sini hari ini, dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Marinah Mohd. Ariffin.
Pencapaian yang luar biasa itu jelas beliau, membuktikan komitmen universiti berkenaan dalam mendepani cabaran dunia realiti melalui siri penyelidikan saintifik yang relevan.
Justeru, beliau berharap agar lebih banyak produk keluaran UMT dapat memberikan nilai tambah berganda bagi sektor industri domestik, komuniti tempatan dan ekonomi negara. – UTUSAN