KUALA LUMPUR: Seramai 24,124 anggota telah bersiap sedia bagi menghadapi gelombang kedua banjir yang melanda negara termasuk 13,556 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 2,147 pegawai bomba serta 8,421 ahli pasukan bomba di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, pasukan penyelamat sudah berada di lapangan bagi menjangkakan gelombang kedua banjir yang dikatakan lebih teruk.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, pembekuan cuti 100 peratus juga telah dikuatkuasakan bermula 1 Disember lalu melibatkan pegawai dan anggota JBPM negeri dan yang terlibat operasi Monsun Timur Laut (MTL).
“Seramai 82,000 anggota daripada pelbagai agensi sudah bersedia untuk gelombang kedua,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Taklimat Kesiapsiagaan MTL di Balai Bomba Hang Tuah, hari ini.
Katanya, JPBM telah menerima sebanyak 1,111 panggilan kes penyelamatan berhubung kejadian bencana alam di seluruh negara selain 1,119 operasi pemindahan mangsa banjir telah dijalankan oleh JBPM yang melibatkan seramai 5,193 mangsa bagi tempoh 5 November hingga 10 Disember.
Dalam perkembangan lain, JBPM dijangka memperoleh 30 jentera bomba baharu paling canggih bermula tahun hadapan.
Beliau berkata perolehan aset itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara Malaysia dan China.
“Saya lihat ada jentera bomba yang perlukan baik pulih besar-besaran selain kenderaan yang sudah digunakan sejak sekian lama dan kita perlukan RM30 juta untuk restorasi.
“Tetapi kita ada (peruntukan) RM18 juta sahaja yang sememangnya tidak cukup, tetapi dengan hubungan diplomatik yang berjaya diterokai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah berjaya memujuk China,” katanya.
Menurutnya, kerajaan China akan beri RM60 juta nilai jentera atas dasar hubungan diplomatik antara dua negara.
Nga berkata, sebelum ini perolehan 231 kenderaan baharu dengan peruntukan berjumlah 40 juta ringgit juga telah diluluskan menerusi Belanjawan 2025. – UTUSAN