PUTRAJAYA: Lebih 1,200 pemandu di seluruh negara menuntut supaya kerajaan menguatkuasakan kawalan harga lantai bagi tambang e-hailing secara serta-merta.
Timbalan Pengerusi Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-Hailing Malaysia, Zailani Zainuddin berkata, kumpulan tersebut memberi masa selama sebulan sehingga 21 Januari depan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk memberi jawapan balas kepada tuntutan mereka.
Jelasnya, menerusi memorandum yang diserahkan, gerakan itu mengemukakan sebanyak tujuh tuntutan berkaitan tambang dan kadar caj.
“Kita sudah berbincang dengan pelbagai pihak dan minta pandangan dari mereka, boleh ke menteri kuatkuasakan perkara tersebut, jawapannya boleh.
“Tapi kenapa dibiarkan EHO (syarikat pengendali e-hailing) masuk (campur) dan menghambakan rakyat sampai ke tahap macam ini, ia amat-amat menyedihkan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Memorandum tuntutan yang telah ditandatangani oleh para pemandu e-hailing itu diserahkan oleh Zailani kepada Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Pengangkutan, Roslan Mohamad.
Terdahulu, kira-kira 50 pemandu e-hailing berhimpun secara aman di hadapan bangunan berkenaan sekitar 30 minit bagi menuntut kerajaan menguatkuasakan tuntutan berkaitan harga lantai tambang perkhidmatan tersebut.
Tujuh tuntutan yang dikemukakan antaranya adalah tambang minimum e-hailing hendaklah tidak kurang dari RM8 selepas komisyen EHO di Lembah Klang, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Melaka, manakala kadar RM7 selepas komisyen EHO di Perlis, Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
Gerakan itu turut menuntut tambang bagi setiap kilometer bagi penghantaran melepasi jarak tambang minimum iaitu RM1.50 dan RM1.25 per kilometer selepas komisyen EHO, selain menuntut tambang dari atau ke pusat bandar Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebanyak RM90 untuk kereta sedan selepas komisyen EHO.
Mengulas lanjut, Zailani berkata, tuntutan yang diserahkan pada hari ini merupakan tuntutan kedua dari gerakan tersebut bagi meminta kawalan harga lantai tambang e-hailing dikuatkuasakan.
“Kebanyakan pemandu e-hailing ini perlu menyara keluarga mereka dan mereka terpaksa menghabiskan masa sehingga 12 hingga 13 jam sehari di atas jalan raya untuk bayaran yang tidak seberapa.
“Sebab itu kita juga ada berhubung dengan pemandu e-hailing di semua negeri supaya mereka dapat turut serta menuntut hak masing-masing,” katanya.
Media pada 14 November 2023 melaporkan, Kementerian Pengangkutan masih belum berhasrat untuk mengawal selia tambang e-hailing di Malaysia buat masa ini dan kerajaan tidak berhasrat menetapkan kadar upah minimum yang diterima pemandu e-hailing. -UTUSAN