PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) mengesan sebanyak 111 gempa bumi berskala lemah di Sabah sepanjang tempoh dua tahun ini.
Ketua Pengarah Met Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, rekod pada 2023 dan tahun ini menunjukkan magnitud paling kuat pada 3.9 skala Richter di perairan Tawau, namun ia berskala kecil dan tidak memberi sebarang kesan terhadap penduduk di kawasan sekitar.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa memastikan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) berfungsi pada tahap optimum sebagai satu langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi ancaman bencana itu yang mungkin melanda rantau ini akibat gempa bumi.
“Susulan tragedi tsunami yang melanda negara pada 26 Disember 2004, Malaysia juga membangunkan sistem SAATNM yang sentiasa dioptimumkan dan diselenggara dua kali setahun. Ia akan dibaiki serta-merta sekiranya terdapat sebarang kerosakan.
“Sistem tersebut mempunyai teknologi setara dengan negara maju dan berupaya menyebarkan maklumat gempa bumi dalam masa 8 minit selepas ia dikesan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Mohd. Hisham berkata, Met Malaysia juga merupakan sebahagian daripada negara yang berada di bawah pemerhatian Indian Ocean Tsunami Warning and Mitigation System (IOTWS), Pacific Tsunami Warning and Mitigation System (PTWS) dan South China Sea Tsunami Early Center (SCSTAC).
“Ahli-ahli di bawah sistem ini akan memantau dan memaklumkan sebarang aktiviti gempa bumi dan tsunami yang berlaku di Lautan Hindi, Lautan Pasifik dan Laut China Selatan,” jelasnya.
Sementara itu, Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan dan Institut Sains Samudera dan Bumi Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, Malaysia tidak terkecuali daripada mengalami gempa bumi, namun risiko berlakunya gempa berskala besar adalah amat rendah.
Jelasnya, negeri yang paling berisiko ialah Sabah kerana lokasinya yang terletak berhampiran dengan Lingkaran Api Pasifik.
Beliau berkata, Semenanjung Malaysia jarang mengalami gempa kuat kerana terlindung dengan Kepulauan Sumatera manakala Sarawak pula terletak di bahagian utara Pulau Borneo, menjadikannya kurang terdedah kepada gempa bumi yang besar.
“Namun, kawasan pantai Malaysia terutamanya di pantai timur, pantai Sarawak dan pantai Sabah masih berisiko menerima kesan tsunami yang berpunca daripada gempa bumi di Laut Luzon, Filipina.
“Selain itu, pantai barat Semenanjung juga berpotensi terdedah kepada gempa bumi laut di Laut Andaman,” jelasnya.
Menurut Azizan, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang akan ancaman gempa kerana negara ini jarang mengalami gegaran melebihi 5 skala Richter.
Tambahnya, walaupun Malaysia tidak terdedah dengan risiko gempa bumi kuat, bangunan pencakar langit tetap dibina dengan spesifikasi tertentu yang turut mengambil kira ketahanan bangunan sekiranya berlaku sebarang gegaran.
“Kebanyakan bangunan prestij di Malaysia termasuk bangunan pencakar langit seperti Menara Berkembar Petronas dan bangunan hospital awam telah direka dengan struktur yang mampu menahan gegaran.
“Walaupun gempa bumi besar jarang berlaku di Malaysia, aspek keselamatan ini telah diambil kira dalam reka bentuk bangunan tersebut,” katanya. – UTUSAN