KOTA KINABALU: “Hidup-hidup, Hidup Musa Aman. Buka-buka, pintu pagar,”.
Itu antara laungan yang kedengaran semasa menyambut ketibaan Tun Musa Aman yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11, di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), hari ini.
Kira-kira 4,000 orang hadir termasuk barisan pemimpin Kabinet Negeri serta pemimpin dan penyokong UMNO Sabah.
Orang ramai hanya dibenarkan masuk ke pekarangan Terminal 2 kira-kira 20 minit sebelum ketibaan Musa.
Ketibaan Tun Musa Aman disambut kira-kira 4,000 rakyat yang hadir bagi menyambut kepulangan Musa selepas menerima surat cara pelantikan di Istana Negara, semalam.
Pesawat yang membawa Musa tiba di Terminal 2 KKIA pada pukul 12 tengah hari dan turut mengiringinya adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya.
Antara pemimpin negeri yang hadir menyambut ketibaan Musa adalah Menteri Sains Teknologi dan Inovasi yang merupakan menantunya iaitu Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib; Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim. – UTUSAN