Penganjuran peogram Generasi Sihat bagi mengelakkan gula berlebihan dan makanan ultra proses kepada murid Tabika KEMAS Sri Melati yang dianjurkan baru-baru ini memberi signifikan kepada kanak-akan dalam usaha mencegah pengambilan gula berlebihan dalam kalangan kanak-kanak
Program anjuran Persatuan Martabat Untuk Semua Petaling Jaya (Martabat PJ tersebut bertujuan menjadi satu bentuk intervensi awal mencegah masalah pemakanan seperti kekurangan zat dan obesiti.
Dalam pada itu, guru Tabika KEMAS Sri Melati, Allia Nafisa Abdul Aziz, 34, berkata, program berkenan dilihat efektif dalam memupuk gaya hidup sihat guru, ibu bapa serta pelajar.
Katanya, penglibatan ibu bapa sangat membantu guru menerapkan makanan sihat seperti sayur dan buah-buahan kepada pelajar.
“Guru selalunya susah sikit nak terapkan makan sayur. Kami sudah buat pelbagai cara mereka tetap susah makan.
“Melalui program ini, ibu bapa dapat pengetahuan lanjut dan boleh ajar anak untuk ambil makanan lebih sihat di rumah seperti sayur dan buah sebab mereka lebih rapat,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar.
Sementara itu, wakil ibu bapa, Nurhayati Abdul Ghafar, 34, berkata, ramai ibu bapa sebelum ini tidak sedar tentang pengambilan makanan sihat.
Katanya, dengan adanya program ini, ibu bapa lebih terdedah untuk sediakan makanan lebih sihat kepada anak-anak.
“Sebelum ini ibu bapa layankan sahaja anak dengan membeli makanan berproses dan makanan ringan.
“Selepas ini, ibu bapa dah boleh mula kurangkan pembelian makanan tak sihat kepada anak-anak bila tahu apa akibatnya nanti,” katanya.
Sebanyak 100 keluarga sasaran terlibat dalam program perintis selama 32 minggu ini, dikendalikan Martabat PJ dengan kerjasama Jabatan Pediatrik Universiti Malaya (PPUM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, Naib Presiden Martabat PJ selaku Penyelaras Program, April Chang berkata, ini merupakan kali kedua sesi pendidikan pemakanan sihat melibatkan ibu bapa bersama seluruh warga Tabika bagi menangani masalah kesihatan dari peringkat awal.
Katanya, Martabat PJ ingin semua pihak terlibat di Tabika KEMAS Sri Melati lebih peka terhadap pemakanan sihat serta bahaya gula berlebihan.
“Malaysia hadapi krisis kesihatan akibat pengambilan gula berlebihan dan gaya hidup kurang aktif seterusnya menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik.
“Kami memandang serius perkara ini dan pelaksanaan program ini adalah sejajar dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan melancarkan Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024-2030 bagi membanteras pengambilan gula yang tinggi rakyat negara ini.
Mengulas lanjut, April berkata, golongan paling terdedah kepada ketidakseimbangan pemakanan termasuk pengambilan gula berlebihan ialah komuniti Taman Medan Cahaya.
Katanya, komuniti terdorong mengutamakan makanan mengenyangkan dan mudah didapati dalam kuantiti besar pada harga rendah.
“Secara tak langsung mereka mengabaikan kualiti makanan sihat dan seimbang. – UTUSAN
“Kenaikan harga makanan sihat serta akses terhad kepada pemakanan seimbang juga menyumbang kepada faktor ini berlaku,” katanya. – UTUSAN