Larian Nakawan Ultra beri limpahan ekonomi Perlis

Larian Nakawan Ultra beri limpahan ekonomi Perlis

PARA peserta larian Nakawan Ultra bergambar bersama di Kompleks Geotapak Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Kangar, Perlis.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penganjuran larian Nakawan Ultra yang memasuki edisi kedua memberi impak besar kepada ekonomi Perlis selain membantu mempromosikan eko-pelancongan sukan negeri ini.

Penganjuran berlangsung selama dua hari itu menarik penyertaan hampir 1,000 peserta termasuk dari luar negara seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Poland dan Belanda yang mengambil bahagian dalam tiga kategori dipertandingkan iaitu larian sejauh 10 kilometer (km), 27 km dan 50 km.

Uniknya, lokasi penganjuran larian di Banjaran Nakawan yang sememangnya terkenal dengan bukit batu kapur terpanjang di Malaysia menjadikan ia cukup istimewa kerana peserta dapat menikmati keindahannya.

Pelepasan larian tersebut bermula di Kompleks Geotapak Taman Eko Rimba Bukit Ayer di sini dengan para peserta sekurang-kurangnya akan berlari antara tujuh sehingga 15 jam.

Pengarah acara itu Ku Hasrin Ku Abdul Rahman berkata, penganjuran larian berkenaan bukan sekadar penglibatan pemain industri semata-mata, sebaliknya lebih kepada memperkenalkan ekopelancongan sukan negeri ini di mata dunia.

“Nakawan Ultra ini menarik lebih 80 peratus peserta luar negara termasuk dari Asia Tenggara dan Eropah dan mereka akan bermalam di sini.

“Dianggarkan sekurang-kurangnya mereka akan berbelanja antara RM500 ke RM800 seorang yang sekali gus bakal memberi limpahan ekonomi khususnya pengusaha kedai makan, inap desa serta hotel,” katanya.

Tambah Ku Hasrin, keunika larian Nakawan Ultra ialah melibatkan larian sejauh 50 kilometer dengan peserta perlu melalui pelbagai cabaran muka bumi yang unik di negeri ini.

Ini termasuk berlari di atas banjaran batu kapur, merentasi denai, kampung tradisi, sawah padi serta kawasan agro pelancongan sekitar sini.

“Pihak Kerajaan Pusat dan Negeri harus melihat Nakawan Ultra ini sebagai peluang dan potensi besar dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 memandangkan Perlis juga sebuah negeri yang giat membangun dalam sektor pelancongan sempadan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN