GEORGE TOWN : Laporan penuh mengenai kes seorang bayi yang jasadnya didakwa disimpan selama dua minggu di dalam peti sejuk beku di sebuah hospital swasta di Klang, Selangor dijangka diperoleh selewat-lewatnya minggu depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ketika ini, Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) telah menjalankan siasatan mengenai kes itu dan pihaknya masih menunggu dapatan penuh kes berkenaan.
“Jangka masa bagi saya sentiasa merujuk kepada mesyuarat pasca Kabinet yang seterusnya. Kami mengadakan mesyuarat mingguan, dengan mesyuarat terbaru diadakan semalam, pada hari Jumaat.
“Jadi, pada waktu itu, saya ingin melihat kemas kini atau dapatan yang akan dipersembahkan semasa mesyuarat pasca Kabinet, harapnya, saya akan ada mesyuarat terakhir sebelum akhir tahun, iaitu minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 1st Malaysia Community First Responder Conference di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan jenazah seorang bayi lelaki terpaksa disimpan di dalam peti sejuk beku selama dua minggu gara-gara ibu bapanya tidak mampu membayar kos kelahiran di sebuah hospital swasta.
Perkara itu tular selepas ia didedahkan oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Wan Cai di laman sosial.
Menurut Dzulkefly, beliau ingin menekankan bahawa KKM memberi perhatian sepenuhnya kes berkenaan, namun pada masa yang sama pihaknya perlu menunggu dapatan dan hasil siasatan yang sebenar untuk berlaku adil.
“Kita tentunya bersimpati dan berempati dengan keluarga yang terlibat dalam tragedi ini.
“Saya mengharapkan laporan dapat disegerakan kerana saya tahu siasatan telah dijalankan. Dapatan awal juga sudah ada, dan saya yakin kita akan dapat mendengarnya tidak lama lagi. Saya percaya semua pihak, termasuk anda, ingin mendengar hasilnya secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kesemua perkhidmatan hospital swasta terikat dengan tertakluk di bawah Akta 586, yang juga dikenali sebagai Akta Perkhidmatan Hospital Swasta.
“Walaupun pemantauan sentiasa menjadi fokus utama kami, kes ini dilihat agak unik dari segi latar belakang dan situasinya, ia menjadikannya berbeza daripada kes-kes lain,” katanya. – UTUSAN