KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam ketika ini berada di dalam proses untuk memuktamadkan laporan penuh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, laporan tersebut akan diserahkan kepada Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selepas disiapkan.
Kata beliau, sebanyak 40 mesyuarat diadakan termasuk sesi libat urus dengan pelbagai pihak diadakan bagi menyiapkan laporan tersebut.
“Setakat hari ini, saya dimaklumkan oleh Tun Zaki Azmi (pengerusi jawatankuasa), mereka dalam proses memuktamadkan laporan yang kemudiannya akan diserahkan kepada Pengerusi MKI, Sultan Nazrin Shah.
“Saya percaya Tun Zaki sudah mengambil kira pihak yang terbabit dan seperti mana yang disebutkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berhubung status kajian kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam.
Pada 15 Julai lalu, Anwar berkata, Majlis Raja-Raja mahu kajian mengenai kompetensi DUN untuk menggubal Undang-Undang Islam dijalankan dengan teliti dan tidak gopoh sebelum mengeluarkan sebarang pandangan.
Beliau berkata, ini kerana pelaksanaan untuk meningkatkan kedudukan dan martabat mahkamah syariah, khususnya melibatkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) kelak tidak dilihat ada kelemahan ketara.
Jelasnya berkata, setakat ini, kajian yang dimulakan akhir tahun lalu tidak mendapat sebarang bantahan atau masalah, termasuk ‘direstui’ Ketua Hakim Negara dan Majlis Raja-Raja memberikan perkenan selepas diberi taklimat awal. – UTUSAN