ALOR SETAR: Sebahagian landasan terbang Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini yang dilanda banjir sejak Jumaat lalu masih digenangi air sehingga petang ini.
Tinjauan dilakukan Utusan Malaysia di lapangan terbang itu mendapati, penerbangan berlepas dan tiba yang dijadualkan juga belum dapat diteruskan sehingga kini.
Jurucakap LTSAH memaklumkan, sebarang perkembangan semasa berhubung operasi lapangan terbang itu perlu dirujuk dengan pihak pengurusan Malaysia Airport.
“Bagaimanapun, sementara menanti air surut sepenuhnya di landasan terbang LTSAH, kami telah mula membuat kerja-kerja pembersihan di kawasan yang boleh,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Seorang kakitangan lapangan terbang itu yang ditemui pula menjangkakan operasi LTSAH hanya akan disambung semula dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hari lagi, namun bergantung kepada cuaca dan paras air kawasan sekitar.
Sabtu lalu, akhbar ini melaporkan penerbangan yang dijadualkan di LTSAH pada hari itu dibatalkan ekoran landasan terbang masih dipenuhi air dalam kejadian banjir sejak Jumaat.
Semakan di papan skrin maklumat di LTSAH mendapati, empat penerbangan masing-masing dua ke Kuala Lumpur dan Subang melibatkan pesawat MAS; Firefly dan Airasia telah dibatalkan.
Sehari sebelum itu, empat penerbangan ke Johor, Subang dan Kuala Lumpur turut dibatalkan susulan bencana itu.
Terdahulu, Malaysia Airport mengeluarkan Notis kepada Juruterbang (NOTAM) di LTSAH dan menutup landasan terbang di lapangan terbang itu buat sementara waktu susulan kejadian banjir.
Bagaimanapun, terminal lapangan terbang itu tetap dibuka dan menasihatkan penumpang menyemak dengan syarikat penerbangan mereka untuk mendapatkan maklumat penerbangan terkini. – UTUSAN
SEBAHAGIAN kakitangan dan anggota bomba lapangan terbang membersihkan landasan terbang LTSAH yang dinaiki air dalam kejadian banjir di Alor Setar. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN