KOTA KINABALU: Pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri ke-11 adalah simbol harapan baharu untuk Sabah.
Presiden Persatuan Suang Lotud Sabah (LOTUD), Datuk Fredie Sua berkata, lantikan bekas Ketua Menteri Sabah itu memberi harapan untuk melihat Sabah terus harmoni dan makmur di bawah naungan kepimpinan yang bijaksana dan berwawasan.
Juster kata beliau, rakyat Sabah harus menyokong pelantikan itu dengan sepenuh hati.
“Marilah kita berganding bahu untuk memastikan segala rancangan pembangunan yang dibawa oleh pemimpin kita dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Dalam konteks hubungan persekutuan-negeri, pelantikan ini menunjukkan kebijaksanaan dan keterbukaan pimpinan negeri serta persekutuan dalam memperkukuh hubungan baik antara kedua-dua pihak.
“Ia penting untuk memastikan Sabah terus mendapat perhatian dan sokongan dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan infrastruktur, pendidikan dan peluang ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya menerusi laman Facebooknya semalam.
Fredie yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berkata, lantikan Musa bukan sahaja simbolik kepada kestabilan politik, tetapi juga sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangannya kepada negeri ini.
Kata beliau, Musa bukan sekadar seorang pemimpin politik tetapi, seorang negarawan yang berpegang teguh pada prinsip keadilan, integriti, dan kepentingan rakyat Sabah.
“Sebagai seorang yang pernah memegang tampuk kepimpinan Sabah, Musa memahami dengan mendalam aspirasi rakyat, cabaran yang dihadapi negeri ini serta peluang besar yang boleh dimanfaatkan demi pembangunan yang berterusan.
“Dengan latar belakang dan pengalaman luas Musa dalam pentadbiran serta pengurusan ekonomi, kita dapat menjangka bahawa peranan beliau sebagai TYT ke-11 akan menambah nilai kepada usaha-usaha kerajaan negeri untuk memacu Sabah ke arah pembangunan yang lebih mampan,” katanya.-UTUSAN