GUA MUSANG: Laluan di Kilometer 78,Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke di sini ditutup kepada semua kenderaan selepas lubang benam baharu dikesan di laluan itu pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, jalan ditutup kepada semua kenderaan daripada kedua-dua arah bermula hari ini sehingga arahan baharu dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, pengguna jalan raya dari Tanah Tinggi Lojing ke Gua Musang atau Gua Musang ke Cameron Highlands, Pahang atau Ipoh, Perak perlu menggunakan jalan lain.
“Berdasarkan laporan pihak JKR Gua Musang, terdapat lubang benam baharu pada lokasi yang sama, namun berjarak lima meter daripada kejadian lubang benam pertama yang berlaku pada 23 November lalu.
“Dalam kejadian lubang benam pertama, tindakan segera sudah diambil oleh JKR dengan membaiki lubang benam terbabit namun pada Khamis lalu mereka mengesan terdapat lubang benam baharu sedalam sembilan meter,” katanya hari ini. – UTUSAN