Lahirkan mahasiswa berjiwa insaniah

Lahirkan mahasiswa berjiwa insaniah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kegiatan membantu masyarakat yang memerlukan bantuan tidak seharusnya dibebankan kepada agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sahaja, sebaliknya mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) juga mesti bersama-sama menjayakannya.

Sebagaimana yang kita sedia maklumi, bahawa mahasiswa sebagai golongan terpelajar di menara gading tidak harus dikecualikan semata-mata dengan tanggapan yang golongan itu mesti menumpukan kepada pengajian.

Dalam keadaan semasa yang menuntut satu anjakan paradigma dalam kalangan mahasiswa dengan menggiatkan diri bersama masyarakat setempat dan hal itu sudah tentu memberikan impak positif kepada penjanaan kecemerlangan sahsiah dan imej peribadi.

Misalnya semasa Kedah dan Perlis dilanda banjir besar suatu ketika dulu, gerakan secara bersepadu golongan mahasiswa IPT boleh dilaksanakan dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir.

Inilah masanya mereka didedahkan dengan perit derita rakyat dan menyerap nilai kemanusiaan tinggi.

Dengan cara sedemikian, apabila mereka bergelar graduan dan memasuki alam pekerjaan maka pengalaman melakukan kerja sukarelawan akan mendorong untuk sentiasa peka dengan keadaan masyarakat di sekitarnya.

Melakukan kerja-kerja sukarelawan akan membenihkan nilai tambah kepada jati diri mahasiswa IPT sekali gus mampu membina tapak asas yang mantap sebagai seorang berkepribadian unggul.

Selangkah sederap bersama rakyat mesti menjadi slogan golongan terpelajar ini.

Kini, mahasiswa dan aktiviti sukarelawan bukan lagi sesuatu yang asing, malah perkembangannya begitu positif apabila wujud kesedaran tinggi kalangan golongan tersebut terhadap kepentingan aktiviti kesukarelawan. Inilah ciri insan yang dikehendaki dalam Islam yang sentiasa bersikap prihatin terhadap kesusahan orang lain.

Pemupukan mahasiswa yang berjiwa ‘ringan tangan’ untuk membantu insan lain sewajar diperkasakan dari semasa ke semasa kerana impaknya sangat baik dalam visi menzahirkan modal insan yang bukan sahaja tinggi daya inteleknya, tetapi juga mantap jiwa penyayang.

Ciri-ciri nilai keinsanan seperti itu amat diperlukan untuk merealisasikan kelompok barisan pelapis dalam menerajui kepemimpinan negara nanti. Bergiat aktif dan tersusun dalam kegiatan kesukarelawan dapatlah disifatkan sebagai medan memberi latihan tidak formal yang berupaya membina golongan itu menjadi pemimpin yang berjiwa rakyat dan prihatin. – UTUSAN

 

MOHD RIZAL AZMAN RIPIN ialah pensyarah kanan Politeknik Muadzam Shah.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN