Lagi mayat lelaki dijumpai di Sungai Chempias - Utusan Malaysia

Lagi mayat lelaki dijumpai di Sungai Chempias

KEADAAN mayat yang ditemukan di Sungai Chempias, Kampung Tanah Merah, Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Selepas empat hari dilaporkan hilang, seorang lelaki ditemukan mati dengan mayatnya dijumpai terapung di Sungai Chempias, Kampung Tanah Merah, di sini hari ini.

Penemuan mayat lelaki itu yang kedua di sungai sama, selepas mayat lelaki tanpa pengenalan diri ditemukan tersangkut di longgokan batang pokok hanyut di bawah jambatan kereta api pada Ahad lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat lelaki berusia 35 tahun dijumpai pada pukul 1.33 petang tadi oleh pasukan penyelamat kira-kira satu kilometer dari pos kawalan bomba (PKB).

Katanya, mayat lelaki itu dipercayai dihanyutkan arus dari lokasi terakhir dia dilihat pada jarak dianggarkan tiga kilometer.

“Mayat yang masih lengkap berpakaian itu dijumpai berhampiran Rumah Anak Yatim Sultan Abdul Aziz di sini. Mayat segera dibawa naik dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Sabarodzi, operasi mencari mangsa diaktifkan semalam di Sungai Chempias selepas pihaknya menerima maklumat lokasi mangsa terbabit dipercayai terjatuh daripada pasukan polis.

“Difahamkan, keluarga lelaki itu membuat laporan polis semalam berkaitan mangsa yang tidak pulang ke rumah sejak Jumaat lalu. Pihak polis kemudiannya memaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar berkaitan kes tersebut dan operasi pencarian dimulakan pada hari sama” katanya.

Tambahnya, operasi yang tamat pada pukul 2 petang itu disertai 19 anggota termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9) selain dibantu pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ahad lalu, mayat lelaki tanpa pengenalan diri ditemukan tersangkut di longgokan batang pokok hanyut di bawah jambatan kereta api di sungai yang sama.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun dalam kenyataannya berkata, pemeriksaan pada tubuh lelaki itu tidak menjumpai kecederaan fizikal yang boleh membawa kepada perlakuan jenayah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya