PETALING JAYA: Ketua Polis Negara memfailkan notis tuntutan saman terhadap blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo atas dakwaan memfitnah dengan melabelkan beliau sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tan Sri Razarudin Husain selaku plaintif menyaman blogger terbabit berhubung kenyataan dimuat naiknya melalui satu video di YouTube dan Tiktok selain turut disebarkan melalui saluran media sosial yang lain.
Peguam Raam Kumar, yang mewakili Razarudin memberitahu Utusan Malaysia, notis tuntutan saman tersebut difailkan pada 26 Disember lalu di Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Tetuan Kbtan, Kumar & Partners.
Katanya, tuntutan saman tersebut dihantar kepada Papagomo yang dinamakan sebagai defendan, petang semalam.
“Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan, ganti rugi fitnah bertulis, ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan dan ganti rugi khas.
“Plaintif turut menuntut perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan sama ada secara sendiri atau pekerja atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata dianggap fitnah selain menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu,” katanya.
Selain itu, Raam berkata, plaintif juga menuntut defendan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan atau memadamkan serta memusnahkan kesemua video, penerbitan dan mesej atau material yang merupakan fitnah oleh defendan.
“Plaintif turut menuntut defendan membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan melalui semua akaun laman sosial dan media massa dan media dalam talian dengan kandungan permohonan maaf harus dipersetujui terlebih dahulu oleh plaintif,” katanya.
Sementara itu, Razarudin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.
Selasa lalu, media melaporkan kertas siasatan membabitkan blogger Papagomo berkaitan video tohmahan terhadap KPN dan PDRM sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara, Jumaat lalu.
19 Disember lalu, Razarudin mengesahkan blogger terbabit diambil keterangan di Balai Polis Setapak berkaitan video berbaur fitnah dan mengaibkan KPN serta PDRM yang dimuat naik di Youtube.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- UTUSAN