KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui TEKUN Nasional meluluskan pembiayaan berjumlah RM204.5 juta kepada 9,412 usahawan India.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pembiayaan itu diluluskan menerusi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) bagi tempoh 2019 hingga November 2024.
“Menerusi jumlah itu, seramai 1,877 usahawan atau 20 peratus disenaraikan kepada agensi pelaporan kredit akibat kegagalan membayar semula pembiayaan kepada TEKUN Nasional.
“Kita terpaksa ambil tindakan untuk atasi masalah pembayaran semula pembiayaan. Selain itu melalui TEKUN Nasional juga kita turut adakah program pendidikan kewangan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Sivaraj Chandran berhubung peratus peminjam yang disenarai hitam akibat gagal membayar pinjaman SPUMI serta langkah menangani isu pembayaran balik.
Dalam pada itu, Ramanan berkata, kementerian akan memberikan pinjaman tambahan sekiranya peminjam membuat bayaran secara berterusan bagi tempoh enam bulan tanpa gagal.
“Kami juga tawarkan pilihan penstrukturan bayaran kepada peminjam serendah RM30 sebulan sahaja.
“Tetapi untuk berikan hapus kira pinjaman tersebut, kami tidak boleh lakukan kerana peminjam akan datang, mereka pula tidak dapat peluang untuk kembangkan perniagaan,” katanya. – UTUSAN