PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan program dan skim pembiayaan khusus untuk usahawan wanita termasuk wanita di luar bandar dan golongan belia.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, sepanjang 2024, kementeriannya melaksanakan pelbagai program dan skim pembiayaan untuk golongan itu yang dilaksanakan oleh agensi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Bank Rakyat, UDA, Pernas dan SME Corp.
Beliau berkata, skim pembiayaan khusus untuk wanita antaranya ialah Skim Pembiayaan TEKUN-Wanita, Program BRPlus-i BizLady, ‘Program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET), Program UDA Bizznita dan Women SME Entreprenuers (M-WiSE).
Katanya, dalam tempoh Januari sehingga November 2024, AIM memperuntukkan sebanyak RM2.57 bilion pembiayaan kepada 272,242 usahawan di bawah skim pembiayaan AIM.
“Bagi Skim Pembiayaan TEKUN-Wanita, seramai 3,258 usahawan wanita menerima manfaat dengan peruntukan sebanyak RM28 juta.
“Jumlah ini adalah sebahagian daripada keseluruhan jumlah bernilai RM386.5 juta yang disalurkan TEKUN Nasional kepada seramai 22,478 usahawan wanita melalui pelbagai skim pembiayaan lain.
“Program BRPlus-i BizLady oleh Bank Rakyat pula telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM30.9 juta kepada 489 usahawan wanita. Ia termasuk dalam sejumlah RM136 juta yang diluluskan oleh Bank Rakyat kepada 1,064 usahawan wanita secara keseluruhannya.
“Program SWEET di bawah Projek Be Your Own Boss (BYOB) oleh PERNAS melibatkan 60 usahawan wanita dalam industri francais dengan kelulusan pembiayaan sebanyak RM 9.2 juta,” katanya menerusi satu kenyataan.
Katanya, program UDA Bizznita turut menawarkan ruang niaga yang strategik di bangunan dan premis perniagaan milikan UDA kepada 406 usahawan wanita.
“SME Corp. melaksanakan pelbagai program keusahawanan yang turut merangkumi seramai 1,447 usahawan wanita dengan peruntukan berjumlah RM34.2 juta.
Mengenai usahawan belia terutamanya di luar bandar, Ewon berkata, kementeriannya telah melaksanakan pelbagai program khusus pada tahun 2024 untuk golongan itu.
Antaranya Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ), Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), skim pembiayaan TEKUN, Program Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY) dan Program Bank Rakyat Unipreneur.
“Program-program pembangunan usahawan siswazah di bawah PROTEGE memberi manfaat kepada 26,716 peserta dengan peruntukan sebanyak RM6.8 juta.
“Program TUBE oleh SME Corp yang menyediakan bantuan pembangunan kapasiti berbentuk latihan, geran permulaan perniagaan dan khidmat nasihat telah memberikan manfaat kepada seramai 805 usahawan belia dengan peruntukan sebanyak RM14.65 juta,” katanya.
Menurutnya, TEKUN Nasional juga telah menyalurkan pembiayaan kepada 21,979 usahawan dalam kategori belia iaitu yang berumur di antara 18 hingga 40 tahun di bawah skim pembiayaan TEKUN, melibatkan peruntukan RM506.5 juta sehingga November 2024;
“Menerusi Program YOUNITY di bawah Projek Be Your Own Boss (BYOB), sehingga November 2024, Pernas telah meluluskan pembiayaan francais kepada 41 usahawan belia berjumlah RM5.77 juta.
“Bank Rakyat telah melaksanakan Program Bank Rakyat Unipreneur bagi membantu seramai 500 usahawan siswa asnaf dari universiti yang terpilih dengan peruntukan sebanyak RM1.675 juta,” katanya. – UTUSAN