Kurangkan pergantungan dolar AS: Tiada keputusan rasmi oleh BRICS

Kurangkan pergantungan dolar AS: Tiada keputusan rasmi oleh BRICS

Jabatan Penerangan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada cadangan rasmi yang dipersetujui oleh negara anggota BRICS untuk mengurangkan pergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) setakat ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia cakna terhadap situasi semasa terutama berhubung ancaman bakal Presiden AS, Donald Trump untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara-negara anggota BRICS.

Beliau mengakui bahawa terdapat perbincangan mengenai pengurangan kebergantungan kepada matawang tradisi perdagangan seperti dolar AS semasa sidang mesyuarat BRICS tetapi tiada cadangan rasmi yang sudah dipersetujui.

“Dalam hal ini adalah perlu supaya peranan dan hala tuju BRICS dilihat secara lebih holistik dan bukan semata-mata dilihat sebagai satu platform hanya untuk mengimbangi kuasa ekonomi negara negara barat.

“Pada pandangan Malaysia, BRICS adalah satu platform yang semakin penting dalam mengetengahkan pandangan dan pendirian mengenai isu-isu ekonomi serantau melalui dialog, forum atau perbincangan yang lebih strategik secara tidak mengikat,” katanya semasa sesi soal jawab menteri (MTQ) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang memintanya menyatakan pendirian Malaysia selaku rakan kongsi dalam BRICS terhadap ancaman yang dilakukan oleh Trump.

Mengulas lanjut, Zafrul berkata, tidak boleh dinafikan bahawa terdapat kesalingbergantungan yang tinggi dalam hubungan perdagangan dan ekonomi di antara Malaysia dan Amerika Syarikat terutamanya dalam rantaian bekalan semikonduktor.

Ini kerana, katanya, syarikat-syarikat AS merupakan pelabur utama di Malaysia di dalam sektor tersebut.

“Hubungan perdagangan yang saling melengkapi ini dapat dilihat berdasarkan statistik semasa di mana pada 2023, AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia manakala Malaysia pula merupakan rakan dagang ke-19 terbesar AS.

“Oleh yang demikian, sebarang langkah mengenakan tarif 100 peratus akan hanya merugikan kedua-dua belah pihak yang saling bergantung dalam usaha untuk mencegah gangguan dalam rantaian bekalan global,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya