Kualiti air 86 sungai di Pahang tahap 1 hingga 3

Kualiti air 86 sungai di Pahang tahap 1 hingga 3

MOHAMMAD Fakhruddin Mohd. Ariff ketika menjawab soalan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kualiti air di 86 sungai di Pahang yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) berada pada tahap satu hingga tiga, iaitu masih dalam kategori selamat dan sesuai dirawat untuk membekalkan bekalan air bersih bagi rakyat di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, di sungai-sungai tersebut dipasang stesen bagi memantau kualiti air.

“Jadi di Pahang ini, kelas air di 86 sungai dipantau oleh JAS berada pada tahap satu hingga tiga. 

“Ini cukup baik berbanding negeri lain yang ada pada tahap empat dan lima. Tahap empat boleh dikelaskan sebagai tercemar. Jadi ini membuktikan komitmen Pahang dalam memulihara alam sekitar,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Andansura Rabu (Pas-Beserah) yang ingin tahu kualiti air Sungai Balok untuk tahun 2023 dan 2024.

Mohammad Fakhruddin berkata, kualiti air Sungai Balok untuk 2023 dan tahun ini pada tahap tiga.

“Di Sungai Balok ini istimewa sedikit sebab di situ dipasang stesen pemantau automatik. Jadi, jika ada efluen tercemar yang dibuang di situ, laporan terus dihantar,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, empat kompaun dikeluarkan kepada premis yang melepaskan efluen melebihi had ditetapkan di Sungai Balok, tahun ini di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Tiga kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan satu kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009.

“Tindakan mahkamah akan diambil terhadap premis terlibat jika gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya