KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat untuk mewujudkan operator kedua selain Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi mengoperasikan laluan Pan Asia terutamanya bagi laluan dari negara ini ke China pada masa akan datang.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, setakat ini, pihaknya akan memperkasakan operator sedia ada iaitu KTMB.
“Kita memperkasakan yang sedia ada terutamanya KTMB itu sendiri sehingga ke Kunming, China.
“Sekarang ini pun ada yang mula beroperasi, tetapi ada sedikit masalah berkaitan urusan kastam dan beberapa lagi. Semuanya akan berjalan terus kerana semua Memorandum Persefahaman (MoU) telah dibuat antara Laos, Thailand dan sebagainya.
“Jadi untuk operator kedua belum lagi, tetapi kita akan memperkasakan yang sedia ada,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Baharuddin Ahmad yang bertanyakan sama ada Kerajaan bercadang untuk mewujudkan operator kedua bagi mengoperasi laluan Pan Asia pada masa akan datang.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berharap perancangan pembangunan rangkaian rel kereta api yang menghubungkan Malaysia dan China dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata walaupun rancangan itu masih di peringkat awal, kementerian berhasrat untuk mempercepatkan usaha berkenaan dalam usaha memanfaatkan hubungan serantau.
Malah katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra kelmarin turut membincangkan kepentingan pembinaan infrastruktur rel. – UTUSAN